Assalammualaikum dan Selamat Sejahtera,
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Ilahi, sekali lagi Kelab Kebudayaan dan Kesenian Universiti Malaysia Pahang telah mengorak selangkah ke hadapan dengan tertubuhnya blog ini. Dengan wujudnya blog ini diharap, pengunaannya dapat dimaksimumkan sebaik mungkin demi kemajuan kita bersama. Teruskan usaha anda dalam memartabatkan seni warisan bangsa yang kian pupus ditelan zaman. Untuk sebarang komen atau cadangan penambahbaikan, silalah kemukakannya ke alamat berikut.
halamanseniump@gmail.com

Akhir kata,
"Senikan CaraMu, Budayakan HidupMu"

Rabu, Februari 09, 2011

PENUTUPAN SEMENTARA HALAMAN SENI

Assalamualaikum...

Blog rasmi Kelab Kebudayaan & Kesenian (KKK) UMP iaitu Halaman Seni akan ditutup sementara berhubung dengan proses menaiktaraf KKK kepada Sekretariat. Berikutan hal ini, blog ini tidak akan mempunyai sebarang entri terbaru buat sementara waktu. Kami memohon maaf atas kesulitan ini.

Selasa, Ogos 10, 2010

Selamat Bertemu Ramadhan!


Malam Gagasan Budaya (MGB) 2010

Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia. Mohon maaf atas kelewatan mengemaskini blog.

Seperti tahun-tahun sebelumnya, KKK telah mengadakan MGB 2010 pada 14 Julai 2010 bertempat di ruang legar Blok W. MGB diadakan bagi memperkenalkan kumpulan-kumpulan yang bernaung di bawah payung KKK serta membuka keahlian baru bagi mahasiswa UMP yang berminat terutamanya Mahasiswa Tahun 1.

Antara kumpulan/Kelab yang membuat persembahan/demonstrasi:
Kelab Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia
Kumpulan Teater Senandika
UMPO
Kumpulan Nasyid Voice Versa


Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia

Kumpulan-kumpulan lain seperti Kumpulan Tarian Kencana Pawana, Kumpulan Dikir Barat, Kumpulan Koir Solid Harmonie, Kumpulan Gamelan Astana Sukma serta Kumpulan Lagu-lagu Puisi Aufa tidak dapat membuat persembahan atas sebab-sebab tertentu namun memberi sedikit penerangan mengenai kumpulan masing-masing.

Pihak Majlis Tertinggi KKK merakamkan jutaan terima kasih kepada semua kumpulan yang telah bekerjasama bagi melancarkan MGB 2010.


Khamis, April 15, 2010

BENGKEL TRANSFORMASI KKK & SEMINAR PENGURUSAN DAN PENGACARAAN MAJLIS MAHASISWA

Assalamualaikum & salam 1 Malaysia.

Pada bulan Mac 2010, KKK telah berjaya menjalankan 2 program iaitu BENGKEL TRANSFORMASI KKK (6 Mac 2010) serta SEMINAR PENGURUSAN DAN PENGACARAAN MAJLIS MAHASISWA (27 Mac 2010). Berikut merupakan aktiviti yang berlangsung sepanjang program terbabit.

  1. BENGKEL TRANSFORMASI KKK
Bengkel ini bermula pada jam 8.30 dan berakhir pada jam 1.30 tengah hari. Antara pengisian bengkel ini adalah:

  • Sesi ice-breaking: sesi pengenalan terhadap KKK serta ramah mesra antara ahli dan MT



  • Sesi perbincangan mengenai masalah yang dihadapi oleh setiap kumpulan beserta jalan penyelesaian


  • Mencipta lagu & lirik dengan tema bersatu menggunakan alatan yang terdapat di dalam studio. Berikut merupakan idea kreatif daripada ahli yang hadir:

melayu, cina, india dan bumiputera,

kini bersatu suara di dalam budaya,

tidak mengira tua, muda, paras rupa,

tanpa prejudis, stereotaip dan rasisma,

kini kita langkah sederap mara,

budayakan hidup, senikan cara,

kebanggan kita rakyat Malaysia,

hidup harmoni berbilang bangsa,

kini masa kita melangkah gagah,

bersatu ke arah matlamat membudaya bangsa,

kita terunggul bersatu

dalam satu suara

2. SEMINAR PENGURUSAN DAN PENGACARAAN MAJLIS MAHASISWA

Seminar ini telah diadakan buat julung kalinya di UMP bagi tujuan mendedahkan mahasiswa terhadap pengurusan & pengacaraan majlis. Seminar ini telah dikendalikan oleh 2 orang penceramah iaitu Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain dan Encik Mohd Zaki Bin Ahmad.


Bacaan doa



Penerangan mengenai aturcara seminar


Ucapan alu-aluan daripada Presiden KKK

  • Slot 1: Pengurusan Majlis
    Penceramah: Encik Mohd Zaki Bin Ahmad







  • Slot 2: Protokol & Etiket
    Penceramah: Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain


  • Slot 3: Pengacaraan Majlis
  • Penceramah: Encik Wan Nazrul Helmy Bin Wan Mohd Zain






Jutaan terima kasih kepada semua peserta yang terlibat bagi kedua-dua program yang telah diadakan dengan jayanya.Diharapkan kedua-dua program ini dapat diadakan lagi di masa hadapan serta mendapat sambutan yang lebih hebat daripada ahli KKK dan seluruh mahasiswa UMP.

"Senikan caramu, Budayakan hidupmu"

























































































Jumaat, Februari 12, 2010

Annual Grand Meeting (AGM) '10

Assalamualaikum dan salam sejahtera. AGM KKK 2010 telah berjaya diadakan pada 5 Februari 2010 pada jam 9.30 malam bertempat di bilik Banquet UMP. AGM pada kali ini dihadiri oleh En. Zaki, En. Nor Azhar Ahmad selaku penasihat baru kelab, wakil dari Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) - Siti Nur Khairunisa bt. Mohd Amir serta ahli-ahli kelab. Antara agenda pada AGM kali ini adalah pembentangan aktiviti kelab sepanjang sesi 2008/2009, pembentangan kewangan kelab serta perlatikan barisan Majlis Tertinggi yang baru. Barisan Majlis Tertinggi sesi baru adalah:

Presiden: Muhamad Firdaus Bin Abdul Wahab
Timb. Presiden: Ainul Nadirah Binti Izaharuddin
Naib Presiden: Nurul Alia Binti Khalil
S/usaha Agung: Norshuhani Binti Abd Manan
S/usaha Kerja: Nurul Wahida Binti Omar
Pengarah Kewangan I: Abigail Koay May Yee
Pengarah Kewangan II: Mohamad Norahiman Bin Abdurahman
Pengarah Penerangan: Siti Zubaidah Binti Mohd Noor
Pgh. Pengurusan Majlis: Abdullah Zaid Bin Zulkifle

Diharapkan dengan perlantikan MT baru akan menyemarakkan lagi aktiviti kelab dengan bantuan dan kerjasama daripada seluru ahli KKK.

Rabu, Januari 06, 2010

KONSERT AMAL TABUNG SINAR PEDULI


Khamis, Oktober 15, 2009

Malam Gagasan Budaya '09

Assalamualaikum dan Salam 1Malaysia. Malam Gagasan Budaya '09 menampilkan persembahan ulung pada semester 09/10 ini. Semua kumpulan mengambil bahagian dalam membuat persembahan. Malam Gagasan Budaya '09 ini merupakan malam yang diadakan pada setiap tahun untuk memperkenalkan dengan lebih dalam mengenai Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP. Antara persembahannya ialah tarian, nasyid, koir, orchestra, gamelan, kompang, lagu puisi shi'ir, teater, silat, dan persembahan dikir barat. Selain untuk memperkenalkan KKK, diadakan juga pendaftaran baru bagi pelajar sesi 09/10 serta pameran mengenai setiap kumpulan yang bernaung dibawah KKK. Penjualan baju KKK juga diadakan. Berikut adalah antara gambar yang sempat diambil ketika berlangsungnya Malam Gagasan Budaya yang bertempat di Astaka UMP.

Antara pelajar baharu yang hadir


Kumpulan Lagu Puisi Shi'ir


Kumpulan Gamelan Astana Sukma


Penjualan baju KKK


Kumpulan Tarian Kencana Pawana


Kumpulan Nasyid Imtiyaz


Saudari Norshuhani dan saudara Amirrudin sebagai pengacara majlis


Kumpulan Koir Solid Harmonie


Booth Kumpulan Teater Senandika


Persembahan silat


Booth Kumpulan Koir Solid Harmonie


Booth Kumpulan Orchestra

Rabu, Julai 22, 2009

Minggu Citra Srikandi '09

*klik pada gambar untuk paparan lebih besar

Rabu, Julai 08, 2009

MALAM GAGASAN BUDAYA '09 kini kembali menemui anda!..

KELAB KEBUDAYAAN & KESENIAN

UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG

LEBUHRAYA TUN RAZAK

26300 KUANTAN

PAHANG DARUL MAKMUR

Assalammualaikum w.b.t. dan salam sejahtera

Merujuk kepada perkara di atas, kami dari pihak Majlis Tertinggi Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP berbesar hati menjemput semua pelajar untuk menyaksikan MALAM GAGASAN BUDAYA bersempena dengan BULAN KEBUDAYAAN 2009 yang akan berlangsung sepanjang bulan ini.

Pendaftaran untuk pelajar berminat juga diadakan pada malam tersebut. Sila bawa yuran pendaftaran sebanyak RM 5 / semester.

Penjualan baju Kelab Kebudayaan & Kesenian juga diadakan. RM25/sehelai. (TERHAD)

Berikut adalah butiran mengenai Malam Gagasan Budaya.

Tarikh: 9 Julai 2009, Khamis

Masa: 8.45 malam

Tempat: Astaka

Tema : SANTAI

Antara persembahan pada malam tersebut adalah :

Kump Kompang Paluan Baidura

Kump Nasyid Imtiyaz

Kump Teater senandika

Kump Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia

Kump Koir Solid Harmonie

Kump Orquesta

Kump Tarian Kencana Pawana

Kump Lagu Puisi Shi'ir

Kump Gamelan Astana Sukma

Kump Dikir Barat Lagenda Warisan

Kelab Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia

Semua pelajar dijemput untuk menyaksikan Malam Gagasan Budaya yang julung-julung kali diadakan pada semester 09/10 ini.

Semua ahli Kelab Kebudayaan & Kesenian diWAJIBkan untuk hadir pada malam tersebut. Digalakkan memakai baju Kelab.

Ayuh sama-sama kita meriahkan MALAM GAGASAN BUDAYA 2009!!!

Sekian, Terima Kasih.


Selasa, Mei 05, 2009

Jejak Warisan : Menyingkap Keunikan Adat Perpatih

Bulat anak buah menjadi Buapak
Bulat Buapak menjadi Lembaga
Bulat Lembaga menjadi Penghulu

Bulat Penghulu menjadi Raja


Pada 1-3 Mei 2009, Program Jejak Warisan : Menyingkap Keunikan Adat Perpatih telah berjaya dijalankan di Negeri Sembilan. Program berbentuk 'homestay' ini telah diadakan di Kampung Bukit Tempurong, Seri Menanti, Negeri Sembilan. Kehadiran para peserta Jejak Warisan telah disambut mesra oleh penduduk kampung dan dimulakan dengan acara penyerahan keluarga angkat. Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang program tersebut adalah Majlis Menerangkan Dato' Setia Muda Nizarudin Bin Hj A Kasim, Suku Seri Lemak Pahang, majlis rewang bersama penduduk kampung, sesi dialog menyingkap keunikan adat perpatih, lawatan ke Muzium Diraja Seri Menanti, mandi di Air Terjun Ulu Bendul, lawatan ke Istana Raja Melewar, Istana Raja, Negeri Sembilan dan lawatan ke Rembau Crystal.

Program selama dua hari tiga malam ini telah banyak memberi informasi dan maklumat yang berguna mengenai adat perpatih, banyak pengalaman dan pengajaran yang berjaya ditimba sepanjang program ini dijalankan. Terima kasih yang tidak terhingga diucapkan kepada penduduk kampung yang telah memberi layanan yang begitu baik sepanjang berkampung di Seri Menanti. Semoga program seperti ini akan terus dijalankan pada masa yang akan datang.

'Senikan Caramu, Budayakan Hidupmu'

Sedikit informasi mengenai Negeri Sembilan dan Adat Perpatih.

Negeri Sembilan didirikan daripada 7 buah daerah iaitu Jelebu, Jempol, Tampin, Kuala Pilah, Rembau, Port Dickson dan Seremban. Negeri Sembilan juga dikatakan disatukan daripada 9 buah negeri kecil yang dikenali sebagai ‘Luak’. Luak-luak ini adalah terdiri daripada Inas, Ulu Muar, Jelebu, Jempol, Gunung Pasir, Sungai Ujong, Tampin, Rembau dan Johol. Daripada sembilan luak ini maka terdirilah Negeri Sembilan.

Negeri Sembilan ini adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang mengamalkan Adat Perpatih. Adat perpatih ini sebenarnya terbahagi kepada tiga bahagian iaitu ‘Perut’, ‘Suku’ dan ‘Luak’. Keturunan yang lahir daripada perempuan iaitu moyang perempuan akan membawa satu unit sosio politik yang dikenali sebagai ‘Perut’. Kebiasaannya hubungan mereka di bawah satu Perut ini agak rapat dan selalunya tinggal dikawasan yang berdekatan. Maka setiap Perut ini pula akan mempunyai seorang Buapak. Apabila Perut yang menjadi keluarga itu bertambah besar dan berkembang maka ia akan membentuk ‘Suku’. Suku pula diketuai oleh seorang yang bergelar Dato’ Lembaga. Pertempatan mereka ini yang mana menjadi suatu kawasan akan dinamakan Luak. Luak bererti suatu unit kawasan pentadbiran yang mana diketuai atau ditadbir oleh seorang yang digelar ‘Undang’. Perlantikan Undang ini biasanya dilakukan oleh beberapa Dato’- dato’ Lembaga.

Di Negeri Sembilan terdapat 12 Suku yang terdiri daripada:
  1. Tanah Datar
  2. Batu Hampar
  3. Seri Lemak Pahang
  4. Seri Lemak Minangkabau
  5. Mungka
  6. Payakumbuh
  7. Seri Melenggang
  8. Tigo Batu
  9. Biduanda
  10. Tigo Nenek
  11. Anak Acheh
  12. Batu Belang

Adat Pepatih mempunyai beberapa prinsip. Antaranya adalah:
  • Keturunan adalah dituruti oleh atau melalui nasab ibunya. Maka dengan itu, generasi yang lahir akan mengikut suku ibunya iaitu pembawaan suku ibunya.
  • Kediaman adalah dikawasan ibu isterinya. Ini bererti, apabila seorang lelaki menikahi seorang perempuan maka ia akan tinggal di kawasan ibu isterinya dan lelaki ini akan dikenali sebagai ‘semenda’. Kebiasaannya, orang lelaki ini akan mengusahakan tanah isterinya untuk keperluan hidup keluarganya.
  • Perempuan mewarisi pusaka dan saka disandang lelaki. Ini bererti orang perempuan akan mewarisi segala harta pusaka seperti tanah adat. Hanya harta pusaka sahaja yang akan diwariskan dan beberapa harta yang telah dipersetujui manakala pihak lelaki kebiasaannya akan menyandang saka iaitu menyandang jawatan-jawatan tertentu dalam adat.
  • Perkahwinan harus berbeza Perut atau Suku. Ini membawa makna perkahwinan daripada ‘Perut’ atau ‘Suku’ adalah dilarang sama sekali. Ini adalah kerana haknya untuk mewarisi pusaka daripada ibunya akan hilang bagi perempuan manalaka lelaki pula akan hilang haknya dalam menyandang jawatan adat.
  • Orang dari luar boleh menjadi ahli dalam sesuatu suku. Ini bermaksud waris mewarisi boleh membenarkan orang luar untuk menjadi ahli sesuatu suku dengan cara melalui upacara yang dinamakan berkedim. Dalam upacara ini seseorang itu akan bersumpah taat setia dan bersaudara dengan ahli-ahli suku yang akan disertainya.

Pada asalnya Negeri Sembilan negeri sembilan ini didiami oleh suatu kaum iaitu seperti Jakun, Sakai dan Semang. Mereka ini secara zahirnya hidup seperi orang Badwi iaitu berpindah randah dari suatu kawasan ke kawasan lain. Mereka akan berpindah demi mencari rezeki seperti memburu dan mengutip hasil hutan. Ada juga dikalangan mereka yang sudah mula bertani dengan mencari tanah yang subur.

Dalam abad ke-14 maka orang-orang Sumatera yang berasal daripada Tanah Datar dan Paya Kumbuh, iaitu Minangkabau tiba di Negeri Sembilan melalui Melaka hingga sampai ke sebuah kawasan bernama Rembau. Setibanya mereka lalu dengan bermastautinlah masyarakat ini sehinggalah berlakunya perkahwinan dengan orang asli di kawasan tersebut. Hasil perkahwinan itu, maka lahirlah suatu generasi yang dinamakan suku ‘Biduanda’. Suku ini lah yang dikatakan suku pewaris asal Negeri Sembilan.

Dari suku Biduanda inilah asalnya pembesar-pembesar Negeri Sembilan yang dipanggil Penghulu dan kemudiannya Undang. Sebelum wujudnya Yang DiPertuan Besar, Negeri Sembilan adalah di bawah naungan kerajaan Melayu Johor.

Pada 1773, maka seorang Raja yang bergelar Raja Melewar telah tiba daripada Pagar Ruyung lalu memulakan satu sistem beraja di Negeri Sembilan. Raja ini adalah raja yang dijemput khas oleh beberapa pembesar daripada Pagar Ruyung. Raja ini kemudiannya di tabalkan menjadi raja di Negeri Sembilan. Akan tetapi raja ini tidak diberi gelaran raja atau sultan, ia dinamakan Yang DiPertuan atau Yamtuan.

Asal penubuhan Negeri Sembilan adalah oleh Dato' Pepatih Nan Sebatang. Beliau juga merupakan pengasas bagi adat pepatih yang sangat dikenali umum. Seperti yang di ketahui umum, adat pepatih lebih mementingkan kaum wanita daripada lelaki. Pada dasarnya, adat ini adalah adat yang terbaik di Negeri Melayu kerana ia sangat mencakupi segala aspek. Keutamaan wanita di dalam adat pepatih sebenarnya lebih kepada mewarisi harta pusaka dan membawa darah keturunan. Menurut adat pepatih, wanita yang mengandungkan dan melahirkan anak maka wanitalah yang membawa darah keturunan kepada pewaris iaitu anaknya. Dari segi harta pula, hanya harta pusaka iaitu termasuk tanah dan rumah induk diwarisi oleh wanita bertujuan agar kaum wanita tidak terabai sekiranya dicerai suami. Namun demikian harta sepencarian adalah milik bersama lelaki dan wanita dan di bahagi mengikut hukum Islam. Hasil positif daripada pengamalan adat pepatih ini, harta pusaka tidak tergadai kerana tidak boleh dijual malah di dalam sesebuah kampung, biasanya terdiri daripada saudara mara kerana tanah pusaka telah dibahagi dari awal keturunan kepada generasi sekarang. Dalam erti kata lain, di dalam sebuah kawasan, biasanya terdiri dari keluarga dari satu keturunan. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.

Program yang diadakan oleh penduduk kampung sempena Jejak Warisan.

Setiba di Telapakan Dato' Undang Luak Rembau.

Sewaktu Majlis Menerangkan Dato' Setia Muda Nizarudin,
Suku Seri Lemak Pahang.

Di Muzium Diraja Seri Menanti.

Bergambar bersama panel sesi dialog mengenai adat perpatih.

Di Rembau Kristal.

Tirai April

Bulan April berakhir dengan tamatnya Peperiksaan Akhir Sesi 2008/2009. Semua pelajar UMP terutama ahli Kelab Kebudayaan & Kesenian khususnya telah bertungkus-lumus menghadapi peperiksaan tersebut. Meskipun masing-masing sibuk dengan persediaan menghadapi peperiksaan, aktiviti-aktiviti yang telah dirancang berjaya dijalankan, kesibukan bukan alasan untuk membantutkan kelangsungan satu-satu majlis dijalankan. Namun begitu, aktiviti sepanjang April belum sempat dicoretkan di blog halaman seni dek kerana tak menang tangan menjalankan aktiviti di samping peperiksaan akhir yang belangsung.

Seawal mulanya bulan April, Anugerah Sukan MASUM telah diadakan di Dewan Astana, Hotel MS Garden, Kuantan. Bagi memeriahkan majlis ini, kumpulan-kumpulan di bawah Kelab Kebudayaan & Kesenian telah dijemput untuk membuat persembahan. Kumpulan Orquesta bersama-sama dengan kumpulan Gamelan Astana Sukma bergabung sebagai Bonang The Rythym menyampaikan tiga buah lagu iaitu Mission Impossible, You Raise Me Up dan Medley Luluh/Tapi Bukan Aku. Kumpulan Tarian Kencana Pawana pula membuat persembahan Tarian Overture Dia Datang dan Tarian Sekapur Sireh. Ini merupakan kali pertama penari perempuan daripada Kumpulan Tarian Kencana Pawana membuat persembahan di majlis terbuka. Syabas diucapkan kepada kumpulan yang terlibat.

Program K-Saintis anjuran Persatuan Pelajar Kejuruteraan Kimia (CHEST) telah diadakan pada hujung minggu yang sama dan telah menjemput Kumpulan Nasyid Imtiyaz dan Kumpulan Lagu Puisi Syi'ir untuk membuat persembahan bersempena dengan konsert yang dijalankan. Turut membuat persembahan pada konsert tersebut adalah kumpulan nasyid popular tanah air iaitu Rabbani. Acara gilang-gemilang itu diadakan di dataran makmal mekanikal. Sambutan yang cukup menggalakkan oleh pelajar-pelajar UMP.

Kumpulan Teater Senandika pula telah berkampung selama dua hari di Taman Budaya Pahang bagi menjayakan Fiesta Teater Senandika yang buat julung kalinya diadakan. Turut hadir pada majlis perasmian penutup fiesta tersebut adalah Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang. Beliau kagum dengan usaha yang telah ditunjukkan oleh produksi yang terlibat. Fiesta tersebut melihatkan Teater Adaptasi Kerusi sebagai teater terbaik dan Saudara Farani Mustafa diangkat sebagai pengarah terbaik. Tahniah diucapkan kepada Kumpulan Teater Senandika, semoga program sebegini dapat dijalankan pada masa akan datang.

Selasa, April 07, 2009

Dikir Barat Lagenda Warisan

Pada bulan Mac yang lepas, buat pertama kalinya kumpulan Dikir Barat Lagenda Warisan yang bernaung di bawah Kelab Kebudayaan & Kesenian telah membuat persembahan bersempena dengan Solidworks Competition ’09 yang dianjurkan oleh Mechanical Engineering Professional Student Club ( MECHAPRO ).

Bertempat di blok WDKU2, majlis pada malam tersebut diserikan dengan 2 buah nyanyian dikir barat yang diketuai oleh saudara Muhammad Zaki B Che Md Nor. Dengan kekuatan ahli seramai 23 orang pada malam tersebut, para peserta pertandingan dan penonton terhibur dengan gelagat Tukang Karut dan Tok Juara bernyanyi sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awok-awok sebagai suara latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Semoga dengan semangat dan komitmen yang tinggi, kumpulan Dikir Barat Lagenda Warisan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan kumpulan-kumpulan lain naungan Kelab Kebudayaan & Kesenian UMP.


Info Dikir Barat

Sejarah

Cara persembahan dikir barat sentiasa berubah dari masa ke masa. Pada peringkat awal perkembangan iaitu awal tahun 30-an, dikir barat dipentaskan di serambi-serambi rumah dalam upacara perkahwinan dan lain-lain. Tetapi pada akhir tahun 40-an, ia dipersembahkan secara solo iaitu nyanyian dari tukang karut, juara dan awok-awok dari satu kumpulan sahaja. Ataupun dalam bentuk pertandingan dari dua kumpulan. Pada masa itu, dikir barat hanya untuk tujuan hiburan sahaja dan tiada bayaran dikenakan kepada penonton. Pada awal tahun 50-an, ia diadakan secara pertandingan di mana penonton dikehendaki membeli tiket untuk menyaksikan persembahan.

Pasukan dikir barat terdiri daripada 15 orang. Dua orang penting ialah juara dan tukang karut. Bagi persembahan yang biasa, awok-awok dikir barat dikehendaki duduk bersila di dalam linkungan bulatan mengarah ke pembesar suara. Dengan cara ini suara akan menjadi lebih lantang dan dapat didengar dengan jelas. Juara dan tukang karut menggunakan satu pembesar suara sahaja di antara mereka dan biasanya mereka menyanyi di luar bulatan awok-awok tetapi dalam pesta dendang rakyat, bentuk itu telah diubah yang mana awok-awok duduk dalam dua atau tiga deret. Juara dan tukang karut duduk di barisan depan.

Tukang Karut

Tukang karut adalah orang yang paling penting dalam pasukan dikir barat. Tugasnya adalah berpantun dan bersyair dengan cara spontan mengenai tajuk-tajuk yang dipilih untuk persembahan. Satu-satu pasukan boleh memanggil sesiapa sahaja untuk menjadi tukang karut bagi pasukannya asalkan orang itu berkebolehan dalam hal itu.

Juara

Orang yang kedua penting dalam persembahan kerana tugasnya untuk berdikir iaitu menyanyikan pantun-pantun pengenalan kepada tajuk tertentu sebelum tukang karut menyanyikan karutnya berpandukan tema yang dibawa oleh juaranya. Selain itu, ia juga sebagai ketua kumpulan dikir barat . Dia juga menjadi guru , mengajar pantun-pantun yang menjadi suara latar kepada ahli-ahlinya.

Awok-awok

Awok-awok merupakan kumpulan penyanyi korus yang terdiri daripada golongan belia. Istilah awok-awok adalah nama kumpulan anak-anak nelayan yang turun ke laut di bawah pengawasan seorang juragan. Dalam dikir barat, awok-awok adalah di bawah jagaan ketua mereka iaitu juara.

Tugas awok-awok adalah mengikut dan mengulangi beramai-ramai pantun-pantun tertentu yang didendangkan oleh juara dan tukang karut . kombinasi suara awok-awok yang nyaring dan kuat merupakan suatu yang menentukan kejayaan sesuatu kumpulan dikir barat. Selain dari menjadi kumpulan korus, mereka juga memainkan beberapa alat muzik yang terdiri dari tetawak, sepasang rebana dan sepasang marakas.